Aku sering teringat pada bumi melaka yang bertuah. sebahagian usia remajaku dihabiskan di negeri ini ketika menuntut di ITM. Sememangnya negeri ini amat aku hargai. mungkin kerana minatku banyak terarah kepada bahan-bahan sejarah. Masih lagi kuingat pada minggu pertama di melaka aku disindir oleh sahabatku yang berasal dari melaka. Aku ingin ke bandar hilir melihat 'bangunan merah' manakala dia menganggap ianya satu tempat yang membosankan.
Aku seorang anak kampung dari negeri jelapang padi amat menghargai tinggalan sejarah di negeri melaka. Kesan-kesan sejarah di sekitar bandar hilir mengimbaukan kembali ke suatu zaman yang memperlihatkan keupayaan bangsaku membina empayar terbilang . Ianya juga memberikan peringatan jelas bahawa kejayaan boleh hilang apabila ia tidak dijaga dengan baik. Aku kagum dengan pelayar-pelayar pada era tersebut yang membawa utusan hingga ke negeri cina dan mungkin juga ke jepun.
Masjid Tengkera cukup aku hargai. Itulah tempat aku mengerjakan solat jumaat. reka bentuk masjid tersebut sudah cukup memperlihatkan keistimewaan dan kepentingannya dalam mengembangkan syiar Islam pada satu masa dahulu. Tidak jauh dari situ, terdapat kedai makan yang menjual meehoon sup yang sedap. kalau tak silap namanya bihun sup tengkera. tidak diketahui samada ianya masih ujud di situ atau pun tidak.
Satu lagi yang amat menarik perhatianku adalah golongan baba dan nyonya di negeri melaka. Aku kagum dengan kefasihan berbahasa melayu dan keramahan menyapa orang yang baru dikenali mereka. Aku masih ingat kepada seorang budak baba yang bermain 'game eletronik' di pasaraya fajar. Aku sering menjadi 'musuhnya' di dalam permainan 'bola' dan 'koboi gila' tetapi kepintarannya bergurau membuatkan aku enjoy bermain dengannya. Kepada kaum baba dan nyonya melaka, kekalkanlah identiti anda seperti dahulunya. Anda akan sentiasa dihargai. Bagi kerajaan negeri Melaka pula , saya mengharapkan keunikan kaum citty di kampung 7 dapat di 'tonjolkan' kerana mereka juga adalah golongan bertuah kerana memiliki identiti unik sebagaimana kaum baba.
cukuplah nukilanku buat kali ini. Yang pastinya dulu aku merasa cukup bahagia setiap kali menunggu bas gajah berang di lorong pandan untuk ke bandar melaka yang bersejarah itu.