Dari tingkat pejabat, aku melemparkan pandangan jauh kehadapan. hujan baru sahaja reda dan suasana menjadi agak sejuk tapi menyegarkan. Aku sememangnya suka melihat lanskap alam selepas hujan terutama dketika berada di daerah kelahiranku , Yan, Kedah.
Daerah yan, suatu daerah yang kecil di bahagian tengah negeri kedah. Apabila balik ke kampung aku sering melemparkan pandanganku ke hamparan sawah padi yang penamatnya di kaki gunung jerai. suasana amat mendamaikan jiwa terutamanya selepas hujan. kabus melitupi kaki pergunungan manakala rumpun padi menghijau segar disimbah hujan.
aku menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanakku di daerah ini. Di sinilah juga aku mendapat pendidikan awal di sekolah rendah sebelum diberi peluang menyambung persekolahan di sekolah berasrama penuh di bandar Ipoh. Masih kuingat ketika itu, sekolah rendahku serba daif dan kekurangan. hanya terdapat satu paip air yang menjadi tempat murid-murid melepaskan dahaga. Itu pun kalau dihisap kuat-kuat. Air langsung tidak mengalir bila paip dibuka. Jika ada murid (termasuk aku)yang hendak membuang air maka pergilah mereka ke sungai yang terletak di hadapan sekolah. Bekalan elektrik tiada pada masa itu. Apabila panas, tidak ada murid yang mengeluh. manakala apabila hujan akan turun, suasana menjadi gelap dan tulisan cikgu di papan hitam tidak lagi kelihatan. Namun aku dan kawan-kawan tetap gembira menghabiskan masa bersama rakan-rakan. Itulah sekolah kebangsaan kg. Setar yang terletak di pinggir kaki gunung jerai, sekolah yang banyak berjasa kepada aku.
Masa beredar dengan pantas. Sehingga kini suasana daerah ini masih seperti dahulu. Sedikit sahaja lanskap yang terusik dek pembangunan. Yan masih menyimpan sawah bendangnya yang terbentang luas, gunung yang indah dan lautan biru yang mendamaikan hati.Ia bagaikan sebuah lukisan indah yang dihiasi warna-warna yang mendamaikan.
Aku masih ingat kenangan ketika bermain layang-layang di batas bendang. Pernah aku menerima kejutan yang besar apabila kakiku hampir memijak objek panjang berwarna coklat yang bergerak-gerak ketika aku berlari-lari di batas bendang. Sehingga kini ianya tetap menjadi misteri. Adakah ia seekor biawak atau pun sang ular.
Malam malam ramadhan apabila hampir lebaran turut menyimpan kenangan kanak-kanak yang menggembirakan . Aku turut sibuk berperang mercun roket dengan jiran di seberang jalan. Abang-abang akulah pembekal mercun pada masa itu. Rumah-rumah dihiasi pelita raya dan suasana kampung bagaikan berada di dalam taman cahaya. Pada masa itu tidak ada mercun bola yang memecahkan gegendang telinga. cukup sekadar mercun roket atau pun mercun katak. Hanaya abangku yang lebih 'advance' bermain meriam buluh bersama rakan-rakannya. Apabila hari raya kian hampir, aku dan saudara-saudaraku akan dibelikan baju raya sebanyak dua pasang. Mungkin ianya sesuatu yang membebankan ayahku memandangkan bilangan saudaraku yang ramai. Itulah kasih ayah dan ibu. Membuat apa sahaja untuk membahagiakan anak-anak mereka.
Inilah serba sedikit kenangan di daerah kelahiranku.